Selamat Datang di Blog GIPSI Generasi Pendengar Setia Wadi 102.0 FM Radionya Keluarga Muslim

Senin, 03 November 2008

Artikel Islami

Doa dengan perantaraan makhluk SYIRIK??

Pada kali ini, perbicaraan akan berkisar pada persoalan Tabarruk atau Barakah, dari berbagai sudut dan pengertian supaya dapat diresapi dan difahami serta diamalkan seperti yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri menurut Al-Quran, Sunnah serta pengamalan para solehin.
PENGERTIAN TABARRUK

Dari Segi Bahasa Tabarruk berasal dari kata bahasa Arab “barakah” atau “barakat” yang membawa banyak pengertian dalam segi bahasa. Antara pengertian kalimat “barakah” dalam istilah bahasa Arab ialah :
Az-Ziyadah & An-Numu ertinya bertambah & menumbuh;
As-Sa’adah & Kathratul Khair ertinya kebahagiaan & kebaikan yang melimpah; • Ad-Du’a ertinya
permohonan;
Al-Manfa’ah ertinya bermanfaat;
Al-Baqa’ & Ad-Dawam ertinya kekal & berterusan;
At-Taqdis & At-Tanzih ertinya sesuatu yang suci & sesuatu yang jauh dari kekurangan;
Al-Muwadzabah ertinya konsisten; Dari Segi Penggunaan Apabila “barakah” memberi pengertian seperti bertambah, kebaikan, dan kekekalan yang berterusan, maka ia bermaksud : ‘Adanya suatu kebajikan Tuhan yang diletakkan pada sesuatu.’ (Tafsir Khazin)

Maka Tabarruk pula bererti seseorang memohon limpahan manfaat yang bertambah dan berterusan dari Allah s.w.t. dengan sesuatu yang suci dan jauh dari sifat kekurangan supaya mendapat kebahagiaan dan kebaikan yang melimpah di dalam kehidupan ini.

Di dalam As-Sunnah, lintasan istilah ‘barakah’ digunakan di berbagai ketika, baik yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w., mahupun yang dinyatakan para sahabatnya.

Di dalam maksud Hadis Muslim disebutkan :( “Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : Adalah orang Madinah apabila memetik hasil tumbuhan, maka petikan pertama itu dibawa kepada Rasulullah s.a.w. lalu Baginda berdoa: Ya Allah, berikah keberkatan pada buah-buahan kami, berkatilah Negara kami, berilah keberkatan pada sukatan kami dan berkatilah timbangan gantang kami.” (Hadis riwayat Muslim)

Jelaslah sudah istilah ‘barakah’ ini digunakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.Maka, haruslah diyakini bahawa istilah ‘barakah’ termasuk dalam istilah yang hidup di dalam Islam itu sendiri. Dapat kita simpulkan, buat ketika ini, menurut cara istilah ‘barakah’ yang digunakan di dalam ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabawi, bahawa barakah mengandung erti :
• Barakah itu adalah sesuatu kebaikan yang datang dari Allah s.w.t. dan diberikanNya kepada sesuatu atau sesiapa yang dikasihi dan disukaiNya;
• Barakah itu ada/wujud dan harus diyakini kewujudannya, sekalipun tidak dapat dilihat dengan mata;
• Barakah itu semata-mata datangnya dari Allah s.w.t., dan bukan selainNya.

DALIL-DALIL WUJUDNYA PENGGUNAAN ISTILAH BARAKAH DARI AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang menggunakan istilah barakah, antaranya

-‘Dan Dia menciptakan di bumi itu gunung-gunung yang kukuh di atasnya. Dia memberkahinya….’ (Fusshilat : 10)

-‘Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya.…’ (Al-Isra’ : 1)

- ‘Maka tatkala dia tiba di(tempat) api itu, diserulah dia : “Bahawa telah diberkati orang-orang yang berada di dekat api itu, dan orang-orang yang berada di sekitarnya…’ (An-Naml : 8)

-Dan ada beberapa ayat lain yang menunjukkan penggunaan istilah tersebut..


KATA-KATA ULAMA MENGENAI AMALAN TABARRUK

Al-Ustaz Dr. Hassan As-Syekh Al-Fatih As-Syekh Qaribullah, seorang ulama Sudan masa kini, mengatakan bahawa walaupun jika ada orang yang bertabarruk, yang mengikuti orang yang bertabarruk serta yang tidak melakukannya, amalan tabarruk tetap adalah sesuatu pengamalan yang ada dalam syara’ kerana ianya diterangkan di dalam Al-Quran. Bahkan amalan ini dikuatkan adanya dengan wujudnya peninggalan-peninggalan serta benda-benda yang orang bertabarruk dengannya, tanpa mengira masa dan ketika, bagi keseluruhan umat Nabi Muhammad s.a.w. Ianya diperkuatkan lagi dengan kenyataan yang terkandung di dalam hadis-hadis dalam bentuk kata-kata Nabi, perbuatan Nabi serta persetujuan Nabi untuk menguatkan apa yang tertera di dalam Al-Quran mengenai kewujudan serta pengamalan tabarruk ini.

Almarhum Prof. Dr. Hamka di dalam Tafsir Al-Azharnya membincangkan mengenai pengertian ‘barakah’. Beliau memecahkan barakah kepada dua macam iaitu yang hakiki dan yang ma’nawi. Yang hakiki ialah yang berupa hujan membawa kesuburan bumi. Ia juga boleh diertikan sebagai daya pembuka fikiran manusia untuk menggali harta dan kekayaan yang terpendam di dalam bumi seperti logam, emas dan lain-lain. ‘Barakah’ juga boleh merupakan kekuatan urusan manusia mengatur kehidupan dunianya supaya mencapai penyuburan dari sudut ekonomi dan sebagainya. Dari sudut ma’nawi, Prof. Dr. Hamka memahamkan ‘barakah’ sebagai timbulnya fikiran-fikiran yang baru dan petunjuk dari Allah, baik berupa wahyu yang dibawa oleh Rasul atau ilham yang ditumpahkan Allah kepada orang-orang yang berjuang dengan ikhlas.

As-Syekh Muhammad ‘Alwi Al-Maliki Al-Makki Al-Hasany, seorang ulama Mekah masa kini, di dalam kitabnya Mafaahim Yajibu An Tusahhah (Pemahaman-Pemahaman Yang Wajib Dibetulkan), menyifatkan perbuatan tabarruk sebagai jawaz (harus) serta disyariatkan. Amatlah keliru bagi mereka yang mengatakan bahawa amalan tabarruk ini sebagai bid’ah yang tidak pernah dilakukan Nabi s.a.w. serta para sahabatnya, apatah lagi mengatakan perbuatan tersebut sebagai syirik dan sesat. Beliau menekankan bahawa pengamalan ‘tabarruk’ dijalankan berdasarkan kepercayaan atas adanya keistimewaan, kemuliaan dan kelebihan pada amalan tersebut sehinggakan amalan yang suci ini dapat membawa kepada qurbah (kedekatan) kepada Allah s.w.t. Kekuatan kepercayaan ini dilandaskan dengan iktiqad bahawa setiap kebaikan dan mudharat hanyalah datangnya dari Allah s.w.t.

Menurut As-Syekh Muhammad Alwi Al-Maliki, pengamalan berTabarruk ini boleh diadakan melalui 3 unsur : 1. Peninggalan - dinisbahkan kepada sesuatu yang mulia, dianggap mulia & dicintai manusia;
2. Tempat - zahirnya seperti tempat-tempat yang lain juga tetapi tempat itu menjadi bukti ibadah disebabkan pernah dikerjakan ibadah ditempat itu oleh para Nabi dan salihin. Tempat tersebut telah ditumpahkan rahmah, pernah dihadiri Malaikat, wujud Sakinah… Inilah yang dicari dari tempat-tempat ini.
3. Individu - penunjuk jalan barakah, hubungan yang hidup dengan yang mati.

Marilah kita menjelajahi jenis-jenis Tabarruk yang ada supaya dapat kita menelusuri lebih dalam tentang kewujudan pengamalan mengambil berkat atau ‘barakah’ ini.

JENIS-JENIS TABARRUK
Pertama : Tabarruk Dengan Sesuatu Peninggalan Yang Mulia
1. Maqam Rasulullah s.a.w Dari Abdullah Bin Dinar r.a. beliau berkata : Aku telah melihat Ibnu Umar berdiri depan maqam Rasulullah s.a.w lalu berselawat dan memberi salam ke atas Baginda s.a.w, Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar.

2. Hajar Al-Aswad Dari Abu Saeed, beliau berkata : “Aku berhaji bersama Umar r.a. Apabila memulai tawaf, dia menghadap batu Hajar Aswad lalu berkata yang bermaksud “Aku tahu engkau ini batu hitam yang tiada memberikan mudarat atau manfaat. Seandainya aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, maka aku tidak akan menciummu. Lalu dia menciumnya.

3. Baitullah (Ka’bah) Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ali ‘Imran ayat 96 menerangkan tentang RumahNya yang sentiasa diberkati. . “Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia ialah Baitullah yang berada di Bakkah (Makkah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia.”

4. Maqam Nabi Ibrahim a.s. Allah s.w.t memerintah agar dijadikan tempat yang pernah beradanya Nabi Ibrahim a.s. ketika mendirikan Baitullah sebagai musalla (tempat mendirikan solat) dan menyifatkan juga maqamnya sebagai salah satu tanda-tanda Allah s.w.t. yang nyata di Baitullah. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah ayat 125“Dan ingatlah, ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan suatu tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian dari maqam Ibrahim itu tempat solat.”dan ayat. “Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata di antaranya Maqam Ibrahim. Barangsiapa memasukinya (Baitullah) akan amanlah dia.” (Ali Imran : 97)

5. Air Zamzam Rasulullah s.aw. pernah bersabda dalam sebuah hadisnya yang menerangkan tentang fadhilat air zamzam walaupun pada zahirnya ia sama sahaja seperti air-air yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w. : ُ“Air zamzam itu menyampaikan segala hajat apabila diminumnya.”

Kedua : Tabarruk Dengan Tempat Ibadah Tabarruk dengan tempat ibadah
iaitu mengambil keberkahan dan fadhilat melaksanakan ibadah di masjid atau tempat-tempat suci sebagaimana dianjurkan oleh Allah dan RasulNya seperti bersolat di Masjidil Haram, Masjid Rasulullah s.a.w., Masjidil Aqsa dan juga di masijd-masjid yang pernah Rasulullah s.a.w. mendirikan solat. Seperti contoh kata Rasulullah s.a.w. maksudnya:“Aku adalah penutup sekelian para Nabi, dan Masjidku adalah penutup sekelian masjid-masjid para Nabi. Dan Masjid yang paling berhak diziarahi dan dikuatkan perjalanan kepadanya ialah Masjidil Haram dan Masjidku. Dan solat di Masjidku lebih baik dari seribu solat dari tempat yang lain kecuali Masjidil Haram.

Di antara contoh tabarruk di suatu tempat yang mulia ialah bertabarruk di tempat yang pernah berada padanya para nabi-nabi, rasul-rasul dan juga para wali-wali Allah. Rasulullah s.a.w. sendiri bertabarruk dengan mengerjakan solat di beberapa tempat lahirnya para nabi-nabi sebelum Baginda dan juga di tempat-tempat yang pernah didiami oleh para nabi dan rasul sebelum Baginda s.a.w. Telah disebutkan dalam sebahagian hadis-hadis yang menceritakan peristiwa Isra’ dan Mi’raj: “Diriwayatkan ketika Rasulullah s.a.w. dimikrajkan dengan menaiki Buraq serta ditemani oleh Jibril Al-Amin a.s. , mereka berjalan sehingga tiba di suatu tempat lalu Baginda s.a.w. disuruh berhenti dan menunaikan solat . Setelah selesai solat dan meneruskan perjalanannya, Jibril bertanya : “Tahukah di mana engkau telah bersolat. Baginda s.a.w. menjawab: “Tidak”. Berkata Jibril : “Engkau telah solat di Tayyibah yang akan menjadi tempat hijrahmu ”. Maka seterusnya Buraq berhenti di suatu tempat dan Nabi s.a.w. pun disuruh turun dan solat. Setelah beliau bersolat, Jibril pun bertanya : “Tahukah di mana telah engkau solat?”. Nabi s.aw. menjawab : “Tidak”. Jibril menjawab : “Engkau telah solat di Thuur Sina di sisi pohon di mana Allah s.w.t. berkata-kata dengan Musa a.s. Kemudian perjalanan diteruskan dan sekali lagi Buraq berhenti dan Rasulullah s.a.w. disuruh turun dan solat. Kemudian Nabi s.a.w. pun ditanya tentang tempat itu dan menyatakan bahawa baginda tidak tahu. Jibril pun mengatakan : “Sesungguhnya engkau telah bersolat di Baitullaham, tempat kelahirannya Isa Bin Maryam a.s.

Ketiga : Bertabarruk Dengan Ayat-ayat Al-Quran
Sebagaimana yang dimaklumi bahawa Al-Quran merupakan mukjizat Rasulullah s.a.w. yang terbesar dan juga menjadi penawar bagi sekelian penyakit. Telah menjadi pengamalan umat Islam bertabarruk dengan ayat–ayat Al-Quran bagi mengharapkan limpahan barakah yang ada pada ayat-ayat tersebut. Sebagaimana juga Rasulullah s.a.w. menggalakkan bacaan beberapa surah-surah tertentu dari Al-Quran pada keadaan-keadaan tertentu. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Isra’ ayat 82 :“Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim kecuali kerugian.”

Keempat : Bertabarruk Dengan Nama-Nama Rasulullah s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebaik-baik dan semulia-mulia manusia, makhluk ciptaan Allah s.w.t. di muka bumi ini. Segala sesuatu yang datang dari baginda atau yang ada pada diri beliau kesemuanya sangat mulia dan membawa barakah kepada ummah Muhammadiyyah. Ini termasuk juga namanya sendiri dan juga nama-namanya yang lain yang dinamakan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran seperti Ahmad, Abdullah, Basheer, Nazeer, Mubeen, Muzakkir dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Jin ayat 19:“Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembahNya (beribadah), hampir saja jin-jin itu berdesak-desak mengerumuninya.”

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :“Aku Muhammad dan aku Ahmad dan Aku ini Penyelamat yang diselamatkan Allah s.w.t. dari kekufuran, dan aku ini pembangkit yang mana manusia akan bangkit atas kedua kakiku dan aku ini Pembalas dan tiada nabi setelahku.”

Kelima : Bertabarruk Dengan Mencium Tangan Mencium tangan
merupakan suatu pengamalan yang menzahirkan rasa penghormatan dan kasih sayang. Jika diteliti pada hakikat dan kembali kepada sunnah dan athar para sahabat, akan kita dapati bahawa mencium tangan para ulama, orang-orang saleh dan kedua ibu bapa adalah sesuatu yang disyariatkan dan juga sebagai bertabarruk dengan kemuliaan yang ada pada mereka justeru menambahkan lagi rasa penghormatan dan mahabbah terhadap mereka.

Dari Abu Daud dari Aishah r.a. beliau berkata :“Sesungguhnya Fatimah r.a. apabila Rasulullah s.a.w. datang ke rumahnya, beliau berdiri, menyambut tangannya dan menciumnya.”
.
Dikeluarkan oleh Al-Hakim dan dibenarkan di dalam Mustadrak dari Buraidah :“Sesungguhnya seseorang datang kepada Nabi s.a.w. lalu mencium kepala dan kakinya.


Sekiranya ada di antara para sahabat yang mencium kaki dan tangan Rasulullah s.a.w dalam suatu keadaan, maka ini merupakan dalil yang mantap tentang harusnya mencium tangan orang alim, orang yang dihormati, orang-orang saleh dan wali-wali Allah . Sebab hal itu terjadi pada Rasulullah s.a.w., yang mana di dalam dirinya terkumpul segala kebaikan yang murni, manaqib yang terpuji dari ilmu ladunni, dan paling tinggi kedudukannya dalam amanah dan kemuliaan.

Keenam : Bertabarruk Dengan Bertahnik
Di antara amalan dan perbuatan yang amat dianjurkan dalam Islam ialah Tahnik iaitu meletakkan manis-manisan di mulut bayi yang baru dilahirkan seperti kurma dan mendokannya.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat apabila ada bayi mereka yang lahir pada waktu Rasulullah s.aw. berada di Madinah, mereka akan membawa si bayi itu kepada baginda Rasulullah s.a.w. dan kemudian Baginda menyuap bayi itu dengan kurma, menyisir rambut kepalanya dengan tangannya yang suci dan mendoakannya. Mereka memandang hal itu sebagai hal yang penuh barakah dan berbangga dengannya. Ibnu Hajr Al-Asqalani berkata : “Sesungguhnya setiap bayi yang lahir pada masa hidup Rasulullah s.a.w. selalu diketahui olehnya, sebab setiap orang Ansar selalu membawa anak-anaknya kepada Nabi s.a.w. untuk ditahnik dan diberkahi.”.

Para ahli sunnah mengutip bahawa ketika Rasulullah s.a.w. menguasai Makkah, orang-orang Makkah selalu datang dengan membawa anak dan bayi-bayi mereka agar kepalanya diusap dengan tangannya yang mulia dan didoakan dengan keberkatan.

Tidak diragukan lagi bahawa Rasulullah s.a.w., makhluk pilihan yang paling sempurna, paling mulia, bahkan paling utama di antara para nabi dan mursalin telah menetapkan wujud sebutan yang paling masyhur dan paling jelas keberkatannya.Wallahua'lam..el-faqir ilallah..

*Abdullah Asy-Syakron


Tidak ada komentar: